Suluk Wijil

9 Sang Arif berkata lembut “Hai Wujil, kemarilah!” Dipegangnya kucir rambut Wujil Seraya dielus-elus Tanda kasihsayangnya “Wujil, dengar sekarang Jika kau harus masuk neraka Karena kata-kataku Aku yang akan menggantikan tempatmu” ... 11 “Ingatlah Wujil, waspadalah! Hidup di dunia ini Jangan ceroboh dan gegabah Sadarilah dirimu Bukan yang Haqq Dan Yang Haqq bukan dirimu Orang yang mengenal dirinya Akan mengenal Tuhan Asal usul semua kejadian Inilah jalan makrifat sejati”

Rabu, 24 Oktober 2007

KHALIFAH DI BUMI - DARIPADA ADAM KE

http://ibnuabbas.wordpress.com

KHALIFAH DI BUMI - DARIPADA ADAM KE GENERASI SETERUSNYA

Oleh DR. ZULKIFLI BIN MOHAMAD AL-BAKRI


KURNIAAN Allah dan limpahan rahmat serta nikmat terhadap hamba-Nya bermula daripada penciptaan sehinggalah penguasaan mereka terhadap segala yang ada di bumi. Lantas Allah mengiringi ayat seterusnya berhubung dengan mukadimah penciptaan Adam.

Begitu juga kurniaan ke atas mereka, iaitu kemuliaan yang diberikan kepada Adam a.s. dengan menjadikannya sebagai khalifah dan meletakkannya di negeri yang penuh kemuliaan, di samping arahan kepada semua malaikat untuk bersujud kepadanya sebagai lambang kemuliaan dan penghormatan.Justeru amatlah munasabah Allah mengingatkan mereka dengan segala nikmat tersebut yang dikurniakan-Nya kepada mereka.

DAN (INGATLAH) KETIKA TUHANMU BERFIRMAN KEPADA MALAIKAT: “SESUNGGUHNYA AKU HENDAK MENJADIKAN SEORANG KHALIFAH DI BUMI.” MEREKA BERTANYA (TENTANG HIKMAT KETETAPAN TUHAN ITU DENGAN BERKATA): “ADAKAH ENGKAU (YA TUHAN KAMI) HENDAK MENJADIKAN DI BUMI ITU ORANG YANG AKAN MEMBUAT BENCANA DAN MENUMPAHKAN DARAH (BERBUNUH-BUNUHAN), PADAHAL KAMI SENTIASA BERTASBIH DENGAN MEMUJI-MU DAN MENSUCIKAN-MU?” TUHAN BERFIRMAN: “SESUNGGUHNYA AKU MENGETAHUI AKAN APA YANG KAMU TIDAK MENGETAHUINYA.

(Al-Baqarah ayat 30)

v `Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat’. Ingatlah ketika dan waktu memberi dua maksud. Syeikh al-Mubarrad berkata: “Jika perkataan `iz’ yang bermaksud (Ingatlah) diletakkan sebelum fi`il mudhari’ (perbuatan yang sedang dan akan berlaku), ia memberi pengertian perkara yang sudah berlaku. Sebaliknya jika `iza’ yang membawa maksud (apabila) diletakkan sebelum fi`il madhi (perbuatan yang telah lepas) perkara itu merujuk kepada perkara yang akan datang.”

Syeikh Muhammad at-Tohir atau lebih dikenali sebagai Ibn A’syur melalui kitabnya, At-Tahrir wa at-Tanwir menyatakan bahawa `iz’ daripada nama-nama masa yang kesamaran menunjukkan kepada masa lampau. Ayat ini mengingatkan kepada Nabi Muhammad mengenai firman Allah kepada malaikat tentang kejadian Adam untuk diceritakan kepada kaumnya.

Malaikat sebagaimana kata Ibn Hajar al-`Asqalani: “Malaikat adalah bentuk jama’ (banyak atau ramai) daripada kata `malak’. Perkataan malaikat diambil daripada akar kata `al-Ulukah’ iaitu `ar-Risalah’ yang ertinya utusan atau pesuruh.” Inilah pendapat Sibawaih dan jumhur ulama.

Dan berkata jumhur ahli kalam dari kalangan umat Islam: “Malaikat adalah jisim halus yang diberikan oleh Allah kudrat (kemampuan) merubah diri dalam pelbagai bentuk, dan tempat tinggal mereka adalah di langit.”

Malaikat adalah makhluk ghaib yang mempunyai jisim nurani yang sangat halus dan mereka tidak dapat dilihat dalam keadaan biasa, tetapi Allah memberikan kemampuan bertukar pelbagai bentuk jasmani yang boleh dilihat oleh manusia, mempunyai kekuatan yang luar biasa, dan mereka sangat hampir kepada Allah, mematuhi-Nya dan tidak pernah menderhaka kepada-Nya, tidak berkahwin dan tidak mempunyai zuriat, tidak makan dan tidak minum.

Mulia

Mereka adalah hamba-hamba Allah yang mulia, membawa risalah Allah kepada semesta alam, menunaikan tugas

masing-masing dengan cemerlang di atas ketentuan Allah.

Ibn Jauzi di dalam Zad al-Masir berkata: “Terdapat dua pendapat tentang malaikat: Pertama, semua malaikat. Inilah pendapat as-Suddi daripada guru-gurunya. Kedua, mereka yang bersama iblis ketika diturunkan ke bumi. Inilah yang disebut oleh Abu Soleh daripada Ibn Abbas.

v `Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi’. Terdapat enam pandangan ulama berhubung perkhabaran Allah kepada malaikat mengenai kejadian Adam a.s: Pertama, Allah Maha Mengetahui wujudnya sifat takbur pada diri iblis. Justeru itu Dia mahu supaya malaikat mengetahuinya dan menzahirkan dalam ilmu-Nya. Yang demikian ini adalah riwayat ad-Dahhak daripada Ibn Abbas dan as-Suddi daripada guru-gurunya.

Kedua, untuk menguji ketaatan malaikat. Ia sebagaimana yang dikatakan oleh al-Hasan. Ketiga, tatkala diciptakan neraka, nescaya takutlah malaikat seraya bertanya: “Hai Tuhan kami, untuk siapakah Kamu ciptakan ini?” Jawab Allah: “Untuk penderhaka kepada-Ku.” Lantas mereka takut untuk melakukan maksiat, sedangkan mereka tidak mengetahui kewujudan makhluk selain mereka. Inilah pendapat Ibn Zaid.

Keempat, Allah hendak menzahirkan kelemahan malaikat daripada penguasaan ilmu. Kelima, Allah hendak mengagungkan Adam a.s. dengan menyebutnya sebagai khalifah sebelum wujudnya lagi. Keenam, Allah hendak memberitahu malaikat bahawa ciptaan-Nya adalah penghuni bumi sekalipun ada ciptaan-Nya di langit. Semua pendapat ini dinyatakan oleh Ibn Jauzi di dalam kitabnya Zad al-Masir.

Inilah kenyataan Allah untuk menjadikan makhluk yang bernama manusia bermula dengan Adam a.s. memegang tampuk amanah sebagai khalifah Allah di bumi. Ahli bahasa Arab berpendapat, khalifah ialah orang yang menggantikan orang lain dan mengambil tempatnya. Diwazankan di atas wazan fai’il dengan makna fa`il (pelaku). Wujudnya `ta’ di belakangnya (khalifah) sebagai tanda mubalaghah. Dinamakan khalifah itu kerana bertanggungjawab menggantikan daripada Allah segala perlaksanaan

hukum-hakam dan juga arahan-arahan Allah.

Al-Imam al-Mawardi di dalam mukadimah kitabnya, al-Ahkam as-Sultaniah mendefinisikan imamah sebagai tajuk atau tempat bagi menggantikan kenabian dalam urusan memelihara agama dan bersiasah dengannya. Justeru dapat difahami bahawa khalifah ini terpikul kepada Adam a.s., juga keturunannya daripada satu generasi kepada generasi seterusnya.

Di dalam kitab An-Nukat wa Al-Uyun pada khilafah Adam dan zuriatnya, terdapat tiga pandangan: Pertama, tatkala penghuni bumi iaitu jin merosakkan bumi dengan maksiat, lantas digantikan Adam dan zuriatnya.

Inilah pendapat Ibn Abbas. Kedua, bahawa dikehendaki kaum yang menggantikan sebahagian mereka daripada yang lain pada menegakkan kebenaran dan memakmurkan bumi. Inilah pendapat Hasan al-Basri. Ketiga, Allah hendak menjadikan khalifah di bumi yang menggantikannya dalam melaksanakan hukum. Inilah pendapat Ibn Mas`ud.

Isyarat

Sebahagian ulama berpendapat, perkhabaran Allah kepada malaikat tentang

ciptaan Adam dan menjadikannya khalifah di bumi, sebagai isyarat dan pengajaran kepada manusia supaya melaksanakan sistem syura dalam urusan mereka, sebelum melaksanakan sesuatu perancangan. Ini akan membuahkan hasil yang baik.

v `Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan)?’ Pertanyaan malaikat ini bagi menunjukkan kehairanan dan rasa ingin tahu, bukan mengingkari atau membangkang ketentuan Allah s.w.t. Seolah-olah mereka berkata, “Bagaimana mungkin Tuhan menciptakan makhluk yang bernama manusia bersifat merosakkan dan membuat bencana di muka bumi di samping berbunuh-bunuhan.”

Sebahagian ulama menyatakan bahawa persoalan ini timbul kerana Allah telah mencipta jin sebelum manusia untuk menghuni dunia tetapi mereka melakukan beraneka maksiat dan penderhakaan kepada Allah. Hafiz Ibn Kathir berkata, “Ucapan malaikat `Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan)’, bukan kerana bangkangan terhadap Allah dan bukan juga kerana hasad dengki kepada Bani Adam. Sebaliknya semata-mata pertanyaan untuk mengetahui hakikat hikmah pada penciptaan tersebut.

Atas dasar inilah persoalan tersebut diajukan, lantas mereka menyebut perihal sifat mereka, `Padahal kami sentiasa bertasbih dengan memuji-Mu dan mensucikan-Mu?’ Ulama berkata, tasbih bermakna membersihkan Allah daripada segala yang tidak baik. Sebagaimana riwayat Talhah bin Ubaidillah katanya: “Aku telah bertanya Rasulullah s.a.w. tentang tafsir `subhanallah’.” Sabda Rasulullah s.a.w.: Iaitu membersihkan Allah azza wajalla daripada setiap keburukan.

Asal kalimah tasbih daripada perkataan `as-sabh’ iaitu berjalan, mengalir dan pergi. Dalam erti kata yang lain, orang yang bertasbih sentiasa berjalan pada menyucikan Allah. Terdapat empat pandangan ulama pada pengertian tasbih: Pertama, ia bererti solat. Inilah pendapat Ibn Mas`ud dan Ibn Abbas. Kedua, ucapan Subhanallah. Inilah pendapat Qatadah. Ketiga, iaitu membesar dan memuji. Inilah pendapat Abu Soleh. Keempat, rendah diri dan perasaan hina kepada Allah. Inilah pendapat Muhammad bin al-Qasim al-Anbari.

Adapun taqdis pula dengan makna mensucikan Allah, berlawanan dengan tanjis iaitu menajiskan. Dikatakan bumi muqaddasah iaitu disucikan, begitu juga ruh al-Qudus (roh yang suci) iaitu malaikat. Justeru maksud taqdis Allah ialah memuji, mengagungkan dan mensucikan-Nya daripada apa yang tidak layak dengan-Nya.

Seterusnya jawapan yang diberikan oleh Allah seperti berikut: Tuhan berfirman, sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya. Ibn Jarir di dalam tafsirnya, at-Tabari berkata: “Ulama telah khilaf berhubung maksud tafsiran ayat ini, sama ada pengetahuan Allah terhadap iblis, maksiatnya di samping sifat takbur yang disembunyikannya. Iaitu Aku Maha Mengetahui segala kemaslahatan yang tersembunyi daripadamu, dan aku mempunyai pengetahuan hikmah pada penciptaan khalifah yang kamu tidak mengetahuinya.

Glosari :

v Wazan: Timbangan mengikut istilah ulama saraf (Bahasa Arab ).

v Mubalaghah: Melampau, lebih atau utama.

v Khalifah: Pemerintah .

v Khilafah: Pemerintahan.